
Muzik 1
Hello pagi!
Matahari memancar ke dalam bilik, terik cahayanya buat bola mata sakit. Walaupun mata bertutup, tapi sinarnya tetap ‘membunuh’ diri. Kepala mula sakit. Terpisat-pisat badan menggeliat. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Tangannya mula menarik selimut versi toto berwarna biru lembut yang tebal ala-ala karpet ruang tamu. Zen menghela nafas. Penat lelah. Kakinya dikeluarkan dari bawah selimut. Hawa sejuk sudah kurang terasa. Ruang bilik juga sudah terasa hangat. Suasana rumah begitu sunyi. Zen menggeliat dan menghela nafas perlahan-lahan.
`Dah gi keje gamaknya budak-budak ni. Tak kejut aku pun. Hampeh!’ rungut Zen dalam hati sambil tangannya menggosok mata yang terkepit ketat.
`Gi mandi aa..!’ fikir Zen sambil menyarung malas pijama birunya.
Malam tadi suhu suasana agak panas. Suhu biliknya apatah lagi. Mahu terbakar dibuatnya. Aircond dah dibuka semaksimum yang mungkin namun masih tidak dapat mendinginkan tubuhnya. Jika diikutkan, hatinya pun panas juga. Namun dalam kehangatan itu, Zen terlelap juga. Zen bangun dan melangkah malas. Namun, terbayang keenakan bermandikan buih sabun yang hangat dan air suam-suam kuku tatkala jam menunjukkan pukul 10 pagi. Pintu bilik air dikuak, kakinya melangkah ke dalam bilik air.
``Ahhhhhh!!!!!!!............” jerit Zen.
Melenting tubuhnya ke belakang. Tindakan refleks serta merta.
`Sejuk!’ gerutunya dalam hati. Namun kakinya terus melangkah, lesu.
Tubuhnya mula menggigil ketika air mencecah kulit.
``Arghhhhhh!!!!!!!!!!......waaahahahahahah!!!!!!!!!!!!!” Zen ketawa gelihati.
Panas hatinya berkurangan. Sejuk air dari pancuran bercat biru laut berjaya menyejukkan hatinya yang sedikit meradang kerana kesejukan pagi yang masih bersisa biarpun kehangatan terasa ketika bangun dari tempat beradunya.
``Zen.............” suara mendayu memanggil.
Zen terus menggosok badan.
``Zen..............oiiiii...........” suara memanggil. Lebih mendayu lagi dan semakin hampir.
Zen menutup air pancuran. Dijenguk kepala ke luar pintu bilik air. Ke kiri, ke kanan.
`Sapa plak buat suara manja time-time pagi macam ni?’ hati Zen mendengus.
``Hola! Zen...........oi...oi...oi.....” suara lebih halus, berlagu-lagu.
Zen melangkah keluar. Bertuala juga berwarna biru air bergambar ikan dolfin. Pintu bilik dikuak.
``Zen!” seorang budak lelaki sebayanya mengejutkan Zen. Langkahnya terhenti.
`` Kuss.....semangat, kau ni!” Zen menggosok dadanya.
Didy tersengih-sengih. Dia melabuhkan punggungnya di atas katil Zen bercadar biru. Rambutnya yang agak panjang sedikit di dahi dielus ke belakang bahu.
``Lambat lagi.” kata Didy tersenyum-senyum. Zen menjeling ke arah Didy menunjukkan marah dengan kata-kata Didy yang seperti sengaja memanaskan hatinya.
`Sibuk!’ geram Zen. Menghenyakkan punggung dengan kasar di kerusi tempat dia melakukan segala kerja-kerja melakarnya sambil tangan ligat mengeringkan rambut dengan tuala kecil.
``Marah Encik Zen?” Didy tersengih lagi mengusik. Sesekali mengelus rambutnya. Posisinya diubah, berbaring.
``Kenapa tak kejut aku?. Sukalah aku bangun lambat?.” gertak Zen. Kerusi ditolak kuat. Didy tersengih-sengih. Masih berbaring.
``Marah pulak. Kita orang dah kejut. Kau tu tido mampos.....hehehe..’’ Didy masih tersengih. Dia bermain-main dengan jarinya. Mengira-ngira.
``Diaorang mana?. Senyap jer. Selalu hingat bukan main!” masih kasar.
``Keluar” selamba Didy menjawab. Masih bermain jari. Kakinya disilangkan.
``Apa?” spontan.
``Keluar. Gi shopping” berguling. Mukanya dicebik-cebikkan mengejek Zen.
`Hish!’ dengus Zen. Bau haruman Black Persude memenuhi ruang bilik. Didy menggosok hidung. Tangan Zen mula mencapai sikat.
``Jom, gi breakfast!.” lengannya dipaut. Tak sempat menyisir rambut. Sikat terlepas. ``Aku masak special tau. Nasi lemak kampung. Ada sambal sotong lagi. Semua dah breakfast. Aku gan kau jer belum.’’ Didy menerangkan tanpa dipinta.
***
Zen terus diheret olah Didy ke dapur. Pintu bilik dibiarkan terbuka luas. Didy terus mengheret Zen sehingga ke dapur kering rumah bujang mereka yang terletak di ruang tengah rumah. Terdapat set meja makan separa bulat berwarna kuning merah berkilat dengan alas meja unik berupa kepingan kayu nipis yang boleh diliuk-lentur. Pilihan Ginn. Ginn seorang jejaka yang berperwatakan tenang. Minatnya kepada seni ukir dan seni lukisan membuatkan Ginn tekad menceburkan diri dalam bidang tersebut. Hasil kerjanya juga kemas dan bercitarasa tinggi.
`` Kau duduk sini. Duduk diam-diam.“ Didy mendudukan Zen di kerusi. Didy terus berlalu ke dapur basah sambil menunjukkan muka tersenyum melambai-lambai.
` Cheh!’ Zen mendengus.
Pandangan mata Zen berubah pada atas meja makan separa bulat berwarna merah kuning. Kerusi separa bulat merah kuning juga ditarik perlahan mendekatkan tubuh ke meja. Zen menyingsing lengan bajunya. Jambangan bunga kecil berwarna pink dan putih penambah seri meja terletak bersebelahan tempat gantung sudu dan garfu menarik perhatiannya.
`Tentu gubahan Didy.’ bisik Zen dalam hati. Sesekali jambangan itu diusik-usik dengan jari.
Hidungnya mula menangkap aroma enak sambal tumis sotong. Aroma harum lada kering bersama bawang besar, bawang putih dan sedikit belacan yang telah dikisar. Zen menelan air liur, keenakkan aroma sambal tumis Didy menaikkan keinginannya untuk menjamah nasi lemak kampung Didy dengan lebih cepat. Perutnya mula bermain irama keroncong. Didy keluar dari dapur dengan semangkuk besar nasi lemak dan diletakkan di hadapan Zen dengan cermat.
``Didy, cepatlah hidang. Eh, lambat betol kau ni.” Zen merungut.
``Sabarlah. Kau senduk nasi tu dulu dalam pinggan.” Didy tersengih-sengih sambil bibirnya memuncung ke arah pinggan 2 biji pinggan dan 2 biji gelas bersaiz sedang berwarna hijau epal. Zen patuh walaupun hatinya menggerutu kelaparan.
Didy datang semula dengan membawa dulang berisi semangkuk sambal sotong, sepiring telur rebus yang telah dipotong dua, sepiring ayam goreng yang telah dipotong-potong menjadi ketulan kecil, sepiring hirisan timun dan sebotol ikan bilis bercampur kacang goreng rangup.
``Minum apa?. Milo? Teh? Kopi?” Didy menyoal sambil meletakkan dulang kayu berukir halus di hadapan Zen. Cepat saja tangan Didy mengeluarkan semua isi dulang dan menghidang di atas meja. Kemudian Didy berdiri menanti jawapan dari Zen tentang pertanyaannya sambil membetulkan lipatan lengan baju.
``Kau nie, macam orang tua-tua jer minum kopi. As usual le, orange juice.” Didy mengangguk faham dan segera ke dapur lalu membuka fridge. Matanya mencari-cari air yang dimaksudkan oleh Zen. Kemudian kautak fresh orange jenama Marigold dicapainya dan dibawa ke meja. Didy duduk berdepan dengan Zen, kautak fresh orange dibuka dan air fresh orange dituang ke dalam gelas. Butiran-butiran limau segar dalam jus oren tersebut nampak menyelerakan. Zen meneguk sekali, dua kali.
``Ni baru sedap, makan nasi lemak dengan air oren. Taklah rasa mual sangat. Eh, kau tak minum air susu kau macam selalu ke?” Zen sedikit terkejut melihat Didy menuang fresh orange ke dalam 2 biji gelas.
``Malas. Niekan dah lemak. Kang minum susu, aku muntah pulak.” Didy menjawab. Zen berkerut dahi. Tangannya mencedok sambal sotong ke dalam pinggan berisi nasi lemak.
``Nah!” Zen kemudian menyuakan pinggan berisi nasi lemak tersebut kepada Didy. Didy mengambil pinggan tersebut dan diletakkan dihadapannya. Botol berisi kacang dan ikan bilis goreng dibuka, isinya dituang sedikit dalam pinggan. Tiga keping timun diambil. Zen sudah mengunyah. Tak sedikit pun dia bersuara.
``Lapar ke, sedap?” Didy bersuara. Mahu tergelak dibuatnya melihat Zen meyuap dengan bersungguh-sungguh.
``Eleh, perasan sedap. Aku lapar je lah. Malam tadi aku stay back kat office, lewat malam baru balik. Malas nak makan.” Zen menjawab sambil tangannya pantas menyuap nasi lemak sambal sotong Didy ke dalam mulut. Sesekali berselang dengan kunyahan timun rangup, kacang goreng dan ikan bilis.
Walaupun mulutnya menidakkan soalan Didy, tapi Zen akui yang Didy memang pandai masak. Dalam rumah bujangnya, cuma Didy dan Zal saja yang betul-betul pandai masak. Kalau yang lain, maggi sajalah. Nak makan sedap, beli saja bahan dan serah pada mereka berdua. Pasti tidak akan mengecewakan. Ada saja masakan mereka buat. Sebab itu kalau antara mereka berdua bercuti kerja, pasti hari itu ada makanan dan lauk-pauk yang sedap-sedap di dapur. Mungkin sebab itu Didy dan Zal memilih untuk menjadi chef. Mempraktikkan dan mengembangkan kemahiran yang belum tentu ada pada semua orang dan kerjaya ini mendapat restu keluarga masing-masing pula.
`Uhukkk....uhuk.....’ Zen tersedak. Didy tersentak. Segera diberikan gelas berisi fresh orange kepada Zen. Didy tersengih. Entah apa yang difikirkan Zen sehingga tersedak dibuatnya.
***
Langkah dihayun. Lambat-lambat dan santai. Sesekali kedengaran derai ketawa. Tangan dan lengan masing-masing sarat dengan beg kertas bertulis DKNY, GUCCI, PRADA, HUGO dan bermacam lagi. Tidak ketinggalan juga beg-beg plastik dari pasaraya-pasaraya biasa. Tanpa jenama terkenal. Tidak pernah memilih. Asal selesa.
``Mesti Zen mengamuk…..’’ mulut Tops memuncung.
``Kita dah kejut dia. Dia yang tak mau bangun. Nasiblah ada Didy kat rumah. Kalo tak, aku rasa si Zen tu tak bangun.” Zal menjawab. Lidahnya mengulum gula-gula Kiss Me. Berangin perisa limau mandarin.
Gelihati bila diingat-ingatkan. Zen memang mudah panas hati. Kata orang bila seseorang tu sukakan warna biru, mesti orangnya romantik dan sejuk je. Tapi Zen lain. Kelakar pula rasanya. Zal ketawa.
``Kenapa ketawa Mims?’’ Ginn bertanya, pelik melihat gelagat sahabatnya yang berkulit cerah itu. Pintu kereta dibuka. Mereka masuk. Barang-barang sudah diletakkan di bonet. ``Teringatkan si Zen. Gelihati. Dia kan suka warna biru.” Zal berkata. Tangannya menarik tali pinggang, dipakai kemas.
``Kenapa?” Tops pula mengajukan pertanyaan. Mulutnya disuapkan potato chips perisa BBQ. Krup, krup, krup....kunyahanya mula kedengaran.
``Wei, kau tak jawab lagi pertanyaan aku lah. Kenapa kau tibe-tibe teringatkan si Zakir Iskandar tu pulak!” Tops bertanya lagi. Mulutnya penuh dengan chips. Serpihannya bersembur.
``Wow...wow...bersemburlah Tops oiiiii!” Ginn menggerutu. Tangan kirinya mula melelang-lelong menolak muka Tops. Tops mengelak, ketawanya berderaian di tempat duduk belakang.
Zal tersenyum melihat gelagat Tops yang seakan keanak-anakan. Soalan Tops terus tidak berjawab dan Tops pun seakan tidak mengambil hirau jawapan kepada soalan yang baru saja diajukan kepada Zal. Wajah Zen terbayang. Serius saja dan jarang sekali mengukirkan senyuman atau ketawa. Biru, ya itulah warna kegemaran Zen. Kata Zen warna biru memberi kedamaian padanya. Zal sendiri pernah terbaca dalam buku motivasi yang warna biru menunjukkan seseorang itu berjiwa romantis dan damai. Tapi, apa yang dilihatnya Zen tak macam tu. Langsung berlainan.
Bersambung....................